Buku Yang Menjadikan Saya Seorang Usahawan

Antara buku-buku pencetus tindakan saya.

Semasa saya menulis entri blog ini sudah tiga hari Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 berjalan. Pesta buku ini berlangsung dari 22hb April sehingga 1hb Mei 2011 seperti selalu di PWTC Kuala Lumpur. Dari bukulah saya kenal penulis, sifu dan mentor yang ramai di antara mereka kini menjadi sahabat saya. Alhamdulillah syukur...


Dari buku jugalah yang menggerakkan saya dari tidak tahu kepada tahu. Dari bermalas-malasan kepada seorang yang rasa rugi membuangkan masa. Dari seorang yang penakut kepada seorang yang berani. Dari seorang yang ragu-ragu kepada seorang yang yakin. Dari yang tidak tahu nak buat apa-apa dan takde idea kepada menjadikan bertambah-tambah idea. Dari yang tercari-cari modal kepada bermula bisnes tanpa modal dan pinjaman. Oh.. Banyak sungguh nak diperkatakan.

Saya mempunyai banyak buku dari pelbagai sumber dan skop jenisnya. Ratusan dari buku-buku tersebut adalah sebagai sumber ilmiah, motivasi, inspirasi dan rujukan agar saya tidak terkeluar dari landasan dalam kehidupan. Manakala buku-buku di atas adalah antara buku pelopor, pemberi ilmu, pencetus idea, pembakar semangat, memberikan kekuatan dan tindakan untuk saya menjadi seorang usahawan.

Terdapat ratusan lagi buku-buku berbentuk bisnes dan motivasi. Kalau dicampurkan buku-buku yang saya telah beli rasanya sudah ribuan ringgit saya keluarkan sedikit demi sedikit. Tapi buku-buku ini tidak merugikan saya. Malah ia sebagai pelaburan buat saya disamping dapat ditolak dari cukai pendapatan (LHDN). Di bawah adalah sebahagian dari buku-buku motivasi dan perniagaan yang sudah jadi milik saya. Kini ia telah di simpan di sebuah rak khas menjadi perpustakaan mini di rumah saya.

Sebahagian kecil dari buku-buku motivasi dan bisnes milik saya.

Saya sudah jadi penulis. Penulis blog dan e-book. Doa-doakanlah saya agar dapat menjadi penulis buku pula. Sudah lama hasrat itu tertangguh. Menulis bukan semata-mata kerana mahukan kemewahan. Saya menulis adalah ikhlas untuk menyampaikan ilmu bagi membantu mereka yang memerlukan jalan keluar dari masalah.

Berlangsungnya pesta buku ini saya ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada mentor-mentor saya, sahabat-sahabat penulis yang saya kagumi. Bagi rakan penulis buku-buku bisnes dan motivasi, mereka telah membuatkan baju usahawan untuk diri saya dan membuka pakaian besi karat yang berat yang saya pakai selama ini. Tunggu! Saya akan datang juga kesana (PBAKL) sebagai rutin wajib saya setiap tahun. InsyaAllah...



0 Ruangan Komen:

Jom la ramai-ramai kita meriahkan dengan komen di sini...