Lebihkan nilai kerja & keuntungan bisnes...


Mengambil upah untuk kerja-kerja memotong rumput merupakan salah satu dari bisnes SOHO juga. Ada pekerjaan yang kita boleh melakukannya sendiri tetapi apabila mengikut keadaan-keadaan tertentu, ia lebih bernilai jika kita mengupah mereka yang lebih berhak atau profesional dalam bidang tersebut. 

Sejak kebelakangan ini saya tidak sempat untuk menguruskan laman rumah saya. Rumput semakin panjang termasuk di luar pagar rumah saya rumput kaki lima yang tumbuh dengan cepat selepas musim hujan yang lepas. Saya mengenali seseorang yang mahir memesin rumput dan mengetahui beliau sedang mencari peluang memotong rumput. Saya mengupahnya untuk kerja-kerja tersebut. 

Apa yang kurang memuaskan hati saya adalah beliau hanya memotong rumput di laman sahaja. Ya, benar walaupun rumput kaki lima itu tidak termasuk di dalam kawasan upah laman rumah, tetapi ia juga adalah menunjukkan imej kediaman saya juga dan sebagai seorang yang mecari peluang untuk memperolehi rezeki dengan bidang ini adalah lebih elok sekiranya beliau membersihkan sekali rumput kaki lima tersebut. 

Ini kerana jika beliau memberi khidmat yang diluar jangkaan pelanggan, kemungkinan besar bagi beliau untuk dapat kerja yang sama akan datang dan mendapat lebih lagi pelanggan adalah lebih cerah. Apa yang saya ingin sampaikan adalah jika kita mempunyai perniagaan, lebihkan nilai kepada produk atau perkhidmatan yang kita tawarkan walaupun tiada dalam pakej kerja/bisnes kita. Dari kejutan ini akan membuatkan pelanggan berulang untuk bisnes kita. 

Pesanan ini bukan untuk bisnes sahaja, ia juga sesuai bagi mereka yang bekerja makan gaji. Ia akan membuka jalan kepada kita mendapat faedah yang baik buat diri kita sendiri. Jangan berkira-kira dengan kerja yang kita lakukan. Yakinlah bahawa kita akan menerima ganjaran yang lebih bernilai dan tanpa disangka-sangka yang kita akan terima kelak.



0 Ruangan Komen:

Jom la ramai-ramai kita meriahkan dengan komen di sini...