Menyelamatkan Ekonomi Keluarga dengan Bekerja dari Rumah


Atas keperluan atau kemahuan dalam menjalani gaya kehidupan, kebanyakan dari kita akan terdorong untuk berhutang. Ramai yang berani untuk berhutang tetapi ramai pula takut apabila tidak dapat membayar hutang dan dikenakan tindakan undang-undang. 

Kini kemestian untuk memiliki kenderaan sendiri telah menjadi satu keperluan bagi kebanyakan dari kita. Mahu atau tidak, ramai di antara kita terpaksa berhutang untuk memiliki kenderaan. Kesedaran untuk memiliki rumah sendiri juga telah mendorong seseorang untuk berhutang. Memang tidak dapat dielakkan dengan 2 jenis hutang yang disebutkan diatas memandangkan keperluannya dalam kehidupan kita masa kini.

Malah jika tidak berhutang, rata-rata masyarakat tidak akan dapat memilikinya dalam masa terdekat sebagai memenuhi keperluan hidup. Cuma ia memerlukan kita untuk menilai pilihan yang sepatutnya untuk kita miliki berdasarkan keperluan dan sumber pendapatan kita.  Jika pendapatan tetap kita sekitar RM 2,000 sebulan, apakah perlu untuk kita mendapatkan Toyota VIOS atau sekadar memiliki kereta Kancil?

Membuat pilihan dengan mengambil kira untuk kesenangan kita pada masa akan datang adalah suatu keperluan dan jangan membuat keputusan dengan sekadar kemahuan semata-mata. Selain dari hutang rumah dan kenderaan, terdapat hutang lain yang biasa di ambil oleh ramai di antara kita. Ia adalah hutang kad kredit dan pinjaman peribadi.

Beberapa keterangan yang di ambil dari akhbar Utusan Malaysia sebelum ini oleh pakar penasihat kewangan peribadi dan keluarga, iaitu Puan Rohani Mohd. Shahir dari Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd. telah menunjukkan statistik hutang kad kredit dan pembiayaan peribadi di negara ini telah meningkat pada kadar 17.6 peratus dalam tempoh enam bulan ke RM98.8 bilion pada akhir tahun 2009.

Yang menjadi masalah dan membimbangkan apabila peratus hutang kad kredit yang tidak dibayar telah meningkat 5.4 peratus, iaitu sebanyak RM26.7 bilion terutamanya akibat pembelian barangan pengguna di bawah skim ansuran. Menurut beliau lagi, dari tahun 2004 hingga April 2009, seramai 637 pemegang kad kredit telah diisytiharkan muflis akibat hutang kad kredit. Iaitu jika dilihat pada pecahan bangsanya, mereka yang muflis ini terdiri 52 peratus berketurunan Cina, diikuti 36 peratus Melayu, 11 peratus kaum India dan satu peratus kaum-kaum lain.

Hasil statistik yang telah di tunjukkan adalah menunjukkan bukti hutang yang lebih banyak mengundang masalah seperti penggunaan kad kredit dan pinjaman peribadi seperti yang dinyatakan adalah begitu serius. Kita sepatutnya lebih berhati-hati untuk menggunakan kaedah tersebut.  Penggunaan wang yang kita belanjakan dengan boros tanpa berfikir dan mengambil kira wang yang perlu di gunakan untuk sesuatu yang lebih perlu pada masa akan datang adalah antara penyebab seseorang itu boleh dibebani hutang.

Lebih parah apabila kita terlibat dengan punca barah kewangan ini dengan penggunaan kad kredit yang tidak di kawal oleh kita sendiri. Ia akan jadi lebih teruk apabila kita hanya membayar dengan kadar paling minima sedangkan kita masih lagi menggunakan ‘wang plastik’ tersebut untuk perbelanjaan yang lain. Sikap yang tidak menitik beratkan urusan kewangan dan disiplin dalam pengawalan wang akan menyebabkan kita sentiasa menunggu wang gaji pada bulan berikutnya. 


Mungkin kita masih sukar bagi dapat menghapuskan tabiat berbelanja kita yang buruk itu kerana sudah sebati dengan diri. Buatlah perubahan lebih positif sedikit demi sedikit dan dalam masa yang sama, banyakkan sumber kewangan seperti membuat kerja sambilan. Kerja sambilan bermaksud pekerjaan yang di lakukan selepas waktu bekerja sepenuh masa, mendapat pendapatan sampingan darinya dan kita tidak terikat lagi dengan peraturan yang ditetapkan syarikat tempat kita bekerja.

Bagi kebanyakan masyarakat, mereka lebih faham dan mengetahui berkenaan bekerja sambilan atau bekerja part time ini adalah dengan keluar bekerja di syarikat lain atau menjana pendapatan dengan berniaga. Sebenarnya terdapat banyak kaedah membina pekerjaan sambilan dengan mengambil upah dari syarikat lain atau pun membuat bisnes sendiri ini dengan hanya melakukannya dari rumah sahaja.

Masyarakat dari negara barat seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom telah lama mempraktikkan amalan bekerja dari rumah ini. Kepada pembaca, inilah alternatif sumber menambahkan kewangan bagi mereka yang menyedari akan kesilapan lalu yang telah membina hutang sebagai satu cara melupuskannya dengan lebih cepat.

Menambahkan kewangan dan pendapatan keluarga juga adalah salah satu cara yang akan menjadikan kita bebas kewangan. Dengan teknologi dan media massa, kita akan dapat memperolehi idea bagi menjana sumber pendapatan tambahan. Malah dengan mengoptimumkan penggunaan Internet, kita akan lebih banyak mendapat maklumat-maklumat dengan percuma.

0 Ruangan Komen:

Jom la ramai-ramai kita meriahkan dengan komen di sini...