Kesan rusuhan kepada ekonomi


Kali ini saya ingin membincangkan berkenaan kesan ekonomi dan akibat apabila berlakunya rusuhan. Yang terkini berlaku di Mesir sehinggakan kita terpaksa membawa pulang rakyat dan pelajar Malaysia yang belajar di sana. Sudah pasti banyak kesannya selain pelabur asing yang takut untuk datang dan melabur ke dalam negara kita. Jika kita renungkan kembali, kesannya akan kena balik pada kita rakyat Malaysia jika kita juga turut membuat rusuhan.  Masih terdapat cara lain untuk mengelakkan sebarang bentuk rusuhan. Sama-samalah kita berfikir dengan lebih bijak untuk mencapai solusi yang terbaik membuat bantahan atau sebagainya.

Di bawah ini adalah artikel yang dipetik melalui akhbar Utusan Malaysia pada 12hb April 2010. Ya, ia memang berita yang berlaku hampir setahun yang lalu tetapi kita semua boleh ambil iktibar dari kejadian yang berlaku di Thailand.

 

Jangan contohi sikap buruk perusuh Baju Merah


PERGOLAKAN di negara jiran kita, Thailand semakin meruncing. Sebanyak sembilan nyawa melayang dan 242 yang lain cedera apabila tentera melepaskan tembakan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan yang merusuh dan melontarkan bom petrol di Bangkok, kelmarin.

Ketidakstabilan politik di negara 'gajah putih' itu tentu sahaja membimbangkan kita. Sebagai negara jiran, kita bimbang keadaan kacau bilau itu akan menjejaskan kepentingan penduduk Malaysia terutama dalam aspek ekonomi. Banyak urusan jual beli melibatkan kedua-dua negara akan terjejas teruk seperti mengimport ikan, buah dan sayur dari negara tersebut. Apabila terjejas tentulah bekalan masuk akan berkurangan sekali gus harga jualan di pasaran akan meningkat. Kesannya, terpaksa ditanggung oleh pengguna. Itu baru satu contoh. Banyak lagi yang akan terjejas termasuk sikap suka merusuh penduduk Thailand yang diajar oleh kumpulan Baju Merah dikhuatiri akan menjangkiti penduduk Malaysia.

Memandangkan terdapat sekumpulan penduduk Malaysia yang 'pendek akal' dalam menilai sesuatu akibat terpengaruh dan taksub dengan fitnah yang dilontarkan oleh pakatan pembangkang, kita bimbang jika budaya merusuh yang dibawa oleh kumpulan Baju Merah yang merupakan penyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra akan melepasi sempadan. Kita risau jika ia berlaku di negara kita, maka segala usaha kerajaan untuk memakmurkan ekonomi rakyat dan mengukuhkan perpaduan kaum akan musnah begitu sahaja. Sebarang usaha untuk memulihkan dan membina semula apa yang telah runtuh bukanlah satu kerja yang mudah. Banyak pengorbanan termasuk wang ringgit dan masa akan terbuang. Adalah lebih baik jika ia digunakan untuk membina negara yang kini berusaha menuju negara berpendapatan tinggi. 

Apabila rusuhan berlaku, sudah tentu pelabur asing tidak mahu datang ke sini. Selain itu, pelabur asing yang sedia ada tentu mahu melindungi harta dan bisnes mereka. Jika situasi gagal dikawal, sudah tentu mereka akan memindahkan lokasi bisnes ke negara lain. Kesannya, ekonomi negara yang masih bergantung pada pelaburan asing akan juga runtuh. 

Bukanlah mahu masuk campur dalam urusan dalaman negara Thailand. Tetapi sebagai negara jiran yang terdedah untuk mendapat tempias daripada rusuhan yang berlaku di Bangkok, maka kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva perlu bertindak tegas bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negaranya. 

Beliau kini sudahpun merasa kesannya apabila situasi politik yang bertambah tegang telah memaksanya untuk membatalkan kehadirannya pada Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Hanoi, Vietnam, baru-baru ini Abhisit juga dilaporkan terperangkap di berek tentera dan terpaksa mentadbir negara dari situ. Jika keadaan ini dibiarkan tanpa tindakan tegas, maka kita percaya kerajaan beliau akan tumbang sekali gus memberi 'kemenangan' kepada kumpulan Baju Merah. 

Namun, adakah selepas 'kemenangan' itu, situasi politik akan berubah menjadi asal iaitu seperti sebelum kumpulan Baju Merah memulakan demonstrasi besar-besaran sejak pertengahan bulan lalu? Jawapan yang pasti adalah tidak. Ini kerana kumpulan Baju Merah Jambu iaitu penyokong kerajaan pimpinan Abhisit pasti akan bangkit menentang dan melakukan perkara yang sama seperti kumpulan Baju Merah lakukan sekarang. Akhirnya, tiada kesudahan yang menguntungkan negara itu dan rakyat keseluruhan terpaksa menanggung kesan buruk yang berpanjangan. Situasi yang sama akan berulang semula dan berterusan sehingga ke satu tempoh yang kita sendiri sukar jangkakan.

Memandangkan situasi tegang di Bangkok itu boleh memberi kesan buruk kepada negara jiran, maka Abhisit perlu bertindak lebih tegas mulai sekarang. Daripada sekadar mengarahkan tentera melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata sahaja, lebih baik beliau menahan pemimpin yang mencetuskan keadaan huru hara itu. Jika terlalu berlembut, inilah yang jadinya. 

Memandangkan kestabilan rantau ASEAN bergantung pada situasi politik dalam setiap negara anggota, maka Abhisit perlu selesaikan segera masalah negaranya agar negara jiran tidak terus diburu kebimbangan risiko 'dijangkiti' penyakit Baju Merah.



0 Ruangan Komen:

Jom la ramai-ramai kita meriahkan dengan komen di sini...